Saya adalah salah satu dari rakyat Malaysia yang tidak suka menempelkan bendera Malaysia di kereta saya. Mungkin juga saya ni tidak patriotik tapi bukanlah bermakna saya ini tidak menyintai negara saya. Cuma saya rasa cintakan negara saya tidaklah perlu dengan aksi menempelkan bendera di kereta. Lagi pula, pelekat bendera itu akan melekat dan merosakkan permukaan cat kereta saya yang berkilat itu.
Jadi pendek kata, saya tak pernah tempelkan bendera di kereta saya. Saya juga tidak ada apa-apa pelekat kereta yang melambangkan sifat patriotik saya. Kereta saya juga bebas pelekat. Yang ada cuma pelekat company, pelekat kawasan rumah dan pelekat cukai jalan (saya tak suka pelekat ni. susah betul nak tanggal).
Tapi awak tau, bila saya dah sampai sini kan, kami (saya dan ramai lagi rakyat Malaysia) rasa gembira pula nak bubuh pelekat kereta melambangkan Malaysia. (Masih lagi tak mau bubuh bendera). Saya ada pelekat kereta "SAYA ANAK MALAYSIA" dengan latar belakang bendera Malaysia yang sedang berkibar.
Disini bila penduduk tempatan tahu yang kami dari Malaysia, layanannya terus berubah. Jikalau pada mulanya mereka menganggap kami dari rakyat Asia yang lain (jika Singapore saya kurang pasti), layanan yang diberi lain. Kurang mesra. Sebut sahaja anda dari Malaysia, "OH! Tou are Malaysian? Malaysia is good. Malaysia is beautiful. You Muslim?" Bertambah mesra jadinya.
Sifat ini juga dapat dilihat di pejabat-pejabat kerajaan. Contohnya semasa mengambil lesen kereta.:D
Secara tidak langsungnya, kami anak-anak Malaysia yang duduk di tanah arab gersang ini, terpancul rasa bangga bahawa kami dari Malaysia.
Apa agaknya yang mereka suka dengan negara kita. Pertamanya mungkin ialah kita adalah sebuah negara Islam. Walaupun di antara kita masih lagi boleh didebatkan isu ini tapi hakikatnya di pandangan rakyat biasa luar negara, Malaysia adalah negara Islam.
Malaysia banyak melahirkan golongan professional Islam. Satu demand yang tinggi disini memandangkan selama ini mereka banyak mengambil tenaga dari negara yang lain seperti Uh Key, Kenada, Amehrika dan juga In-dia. Rata-rata mereka menganggap rakyat kita bekerja kuat dan mempunyai tatasusila yang tinggi. Membuat saya berfikir, tidak banyak negara Islam yang mempunyai tenaga professional Islam. Sistem pelajaran kita yang cuba memastikan "a mass production of professionals" telah menghasilkan ramai professional masa kini. Kualiti atau tidak adalah isu bagi debat yang lain.
Malaysia damai, makmur, cantik dan berwana-warni. Ada hijau pokok, biru laut dan ceklat tanah merah.
Walaupun Malaysia dipenuhi dengan kemelut politik, rakyatnya di suapkan dengan media yang suka melaga-lagakan pemikiran yang tidak membina, ekonomi yang tidak memberansangkan, dan pelbagai hal lagi. Tidak ada celanya negara kita bagi mereka. Berita-berita mengenai Malaysia kerap diselitkan di akhbar-akhbar Bahasa Ingeeris tempatan. Hatta kisah Tun yang semakin lantang bersuara.
Cuma satu sahaja yang saya khuatir. Bendera Malaysia ini tersangatlah sama rupanya dengan bendera Amehrika. Jadi saya elakkan menggunakan pelekat yang hanya menggambarkan jalur merah putih. Saya gunakan pelekat yang bertuliskan Malaysia yang besar. Silap haribulan kereta saya pulak yang kena bom.
Walaupun saya rasa itu jarang berlaku sebab sebenarnya walaupun ada kumpulan radikal di mana-mana, penduduk Arab rata-ratanya berkiblatkan Amehrika (Jangan tafsir secara literal). Dari keretanya hingga ke sistem yang diguna pakai.
Jadi, adakah mungkin sesuatu telah dilakukan dengan betul dalam 49 tahun kita merdeka. Good clean image of professional muslim. "Malaysian? Muslim? We want more of you"
Tapi ya, saya bangga saya rakyat Malaysia. Rata-rata kita baca sesuatu yang negatif selepas 49 tahun kita merdeka di web kan? Kerana banyak lagi perlu dibetulkan. Memang betul tu. Tetapi ada juga yang boleh kita banggakan walaupun hanya sekelumit.
Selamat Merdeka selama 49 tahun.